Program MyCareCoV19 dilihat mampu memberikan khidmat bimbingan kerohanian, nasihat perundangan dan pengurusan emosi buat rakyat Malaysia yang terkesan akibat wabak COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata rakyat Malaysia harus akur terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bermula 15 hingga 28 April depan demi memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Katanya, bagi sesetengah pihak, lanjutan PKP ini dilihat sebagai rahmat dalam bencana.

“Manakan tidak, hampir dua bulan lamanya masa cuti ini dapat diisi dengan penuh berhemah bersama keluarga tercinta.

“Namun, PKP menjadi pembunuh psikologi secara senyap terhadap sebilangan besar masyarakat.

“Tekanan ekonomi keluarga dan himpitan isu rumahtangga dilihat menjadi pencetus kepada pelbagai isu emosi seperti tekanan perasaan dan kemurungan (depresi),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

mycareCov19